Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gerakan: Tambah kemasukan matrikulasi tak bererti lebih adil
Diterbitkan:  Apr 30, 2019 4:28 PM
Dikemaskini: 8:28 AM

Keputusan kerajaan untuk menambah kemasukan pelajar matrikulasi tidak bererti menjadikan sistem itu lebih adil, kata Presiden Gerakan Dominic Lau.

Program itu sepatutnya menggunakan sistem berasaskan merit dengan mengkhususkan kuota  untuk pelajar dari keluarga berpendapatan rendah dan bukannya sekadar mengekalkan kuota 90 peratus untuk bumiputera dan 10 peratus untuk bukan bumiputera.

Kerajaan persekutuan juga seharusnya mempertimbangkan untuk melaksanakan peperiksaan tunggal dengan STPM menjadi satu-satunya ujian untuk memasuki universiti awam.

"Rakyat mahu melihat perubahan sistematik untuk melayan semua pelajar secara adil dan saksama dari segi kemasukan dalam program universiti.

"Pengambilan yang lebih ramai dengan kuota yang sama bukan penyelesaian yang PH seharusnya banggakan," kata Lau dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Lau, dasar program matrikulasi ketika ini "ketinggalan" dan bersifat "regresif".

Kementerian Pendidikan baru-baru ini mengumumkan pengambilan kemasukan matrikulasi akan ditambah sebanyak 60 peratus, iaitu 40,000 pelajar dengan mengekalkan kuota 90:10.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menyifatkan langkah itu sebagai situasi menang-menang.

Katanya, meskipun kuota dikekalkan, dengan penambahan 60 peratus pengambilan, makin ramai pelajar bukan bumiputera berpeluang diterima masuk matrikulasi tanpa perlu mengorbankan kuota pelajar bumiputera.

Meskipun PH tidak pernah berjanji untuk mengkaji semula program matrikulasi, pemerhati melihat langkah yang diambil kerajaan itu adalah sebagai memenuhi janji untuk membantuk masyarakat India mendapat tempat di universiti.

Matrikulasi merupakan kursus sains pra-universiti yang diiktiraf untuk memasuki universiti awam tempatan.

Pengkritik melihat program matrikulasi merupakan cara yang lebih mudah untuk ke universiti berbanding STPM, sijil yang diiktiraf setaraf dengan A-level.

Pemimpin DAP sebelum ini menyifatkan penambahan pengambilan matrikulasi akan menyebabkan pemegang STPM lebih sukar untuk diterima masuk universiti awam.

Lihat Komen
ADS